Language Medium

"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepada Allah, Tuhan sekalian alam."

"No reward do I ask of you for
what I have to say (from my Lord), my reward is only from Allah, the Lord of the Worlds"
[Surah Asy-Syu'ara' 26:109]

Language Medium: English & Bahasa Melayu

18 October 2011

Kisah As Salihin: Derapan Kaki Kuda Di Samarqand

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

بسم الله الرحمن الرحيم


Allah memberikan pemerintahan kepada siapa yang dikehendaki-Nya.

Dan Allah Maha Luas pemberian-Nya lagi Maha Mengetahui.

[Surah Al Baqarah 2:247]

Kisah As Salihin:

Derapan Kaki Kuda Di Samarqand

Pada keheningan subuh yang bersejarah itu, lebih 1300 tahun yang lalu, sebelum mentari memancarkan sinarnya di kota Samarqand, suasana tiba-tiba berkocak. Rengkekan kuda kedengaran bertalu-talu. Derapan kaki-kakinya memecah kesunyian dan sekaligus mengejutkan penduduk Samarqand yang sebelumnya masih nyenyak tidur. Pedang-pedang dan tombak-tombak terhunus dalam sorakan yang menggerunkan,"Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!"

Pahlawan-pahlawan Kristian Koptik di kota Samarkand tidak sempat bertindak. Tentera Islam pimpinan Panglima Qutaibah menyerbu dengan mendadak. Baju besi musuh masih tersimpan rapi. Baju tempur masih belum tersarung. Kuda-kuda perang masih di kandang. Pedang dan tombak segera dicari. Namun dalam samar-samar subuh dengan mata yang baru terbuka, mereka sukar bertindak. Kerana itu, dalam hanya beberapa waktu sahaja, Samarqand jatuh ke tangan tentera Islam.

Samarqand menyerah dengan mudah. Mereka diserang secara tiba-tiba oleh tentera Islam pimpinan Panglima Qutaibah Bin Muslim. Berita kejatuhan Samarqand itu segera sampai ke Damsyik,pusat pemerintahan Bani Umayyah.

Namun begitu, satu persoalan telah ditimbulkan oleh paderi-paderi di Samarqand. Mereka menuntut keadilan. Mereka merasakan Qutaibah Bin Muslim telah melanggar peraturan peperangan kerana sepanjang pengetahuan mereka, menurut ajaran agama Islam, sebelum sesebuah negara itu diperangi, rakyatnya terlebih dahulu mesti diberi pilihan; memeluk agama Islam atau membayar jizyah atau perang. Mereka merasakan serangan pukul curi oleh tentera Panglima Qutaibah bukan sahaja melanggar tatatertib peperangan pada zaman itu malah melanggar undang-undang Islam sendiri.

Akhirnya paderi wilayah Samarqand itu pergi mengadu kepada Khalifah Islam yang berpusat di Damsyik. Sampai di sana, hati mereka tersentuh dan terusik apabila melihat kehidupan ala kadar pemerintah tertinggi kerajaan Islam iaitu Khalifah Umar Ibnu Aziz. Rumahnya kecil. Hidupnya sangat sederhana. Keadilannya terserlah tanpa mengira kaum kerabat ataupun sahabat handai.

Pengaduan paderi-paderi itu bukan sahaja diterima dengan baik, malah Khalifah Umar Abdul Aziz menghantar seorang hakim untuk menyelidiki dan seteruanya mengadili dakwaan penduduk Samarqand terhadap tentera Islam pimpinan Panglima Qutaibah. Setalah diadakan perbicaraan mengikut undang-undang Islam, Qutaibah Bin Muslim didapati bersalah. Hakim itu memerintah Qutaibah bersama tenteranya keluar semula dari kota Samarqand yang baru mereka takluki.

Maka pada dinihari itu juga, setiap tingkap rumah penduduk Samarqand telah terkuak bila mendengar derap kaki tentera Qutaibah, dan penghuninya menjenguk melihat deretan tentera itu melangkah keluar dari kota tersebut. Kepala-kepala yang menjenguk keluar itu meninjau-ninjau dan akhirnya dari setiap mulut penduduk kota Samarqand, meluncurlah ucapan kalimah syahadah,"Asyhadu alla ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadar rasulullah."

Islamlah penduduk tempatan Samarqand kerana melihat betapa agungnya keadilan Islam, betapa kuatnya Khalifah Umar Abdul Aziz menegakkan hukum Allah SWT. Betapa patuhnya Qutaibah kepada Khalifah dan betapa taatnya anggota tentera Islam kepada panglima mereka.

Dimanakah orang-orang Islam seperti itu sekarang?

Ingatlah akan janji Allah SWT yang Maha Kuat!

Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemerintahan di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang yang sebelum mereka: Khalifah-khalifah yang berkuasa dan Dia akan menguatkan dan mengembangkan agama mereka (agama Islam) yang telah diredhaiNya untuk mereka; dan Dia juga akan menggantikan bagi mereka keamanan setelah mereka mengalami ketakutan (dari ancaman musuh).Mereka terus beribadat kepadaKu dengan tidak mempersekutukan sesuatu yang lain denganKu dan (ingatlah) sesiapa yang kufur ingkar sesudah itu, maka mereka itulah orang-orang yang derhaka. Dan dirikanlah kamu akan sembahyang serta berilah zakat dan taatlah kamu kepada Rasul Allah; supaya kamu beroleh rahmat.

[Surah An Nur 24:55-56]

No comments:

Post a Comment