Language Medium

"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepada Allah, Tuhan sekalian alam."

"No reward do I ask of you for
what I have to say (from my Lord), my reward is only from Allah, the Lord of the Worlds"
[Surah Asy-Syu'ara' 26:109]

Language Medium: English & Bahasa Melayu

24 October 2011

Kisah As Salihin: Hukum Diri Sebelum Dihukum

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

بسم الله الرحمن الرحيم





Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah dari kebanyakan sangkaan

(supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana

sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah

kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan

janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain.Adakah

seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati?

(Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik

kepadanya.(Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan

bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi

Maha mengasihani.

[Surah Al Hujurat 49:12]





Kisah As Salihin:

Hukum Diri Sebelum Dihukum






Di bawah samar-samar cahaya pelita yang ditiup angin dari celah-celah kebocoran dinding, duduk seorang insan yang sedang menangis sambil memegang cambuk membelasah belakangnya.Keluhan dan rintihan yang menyayukan hati keluar dari bibirnya,"Apalah kerjamu hari ini? Apalah kerjamu hari ini?"

Dia adalah Sayidina Umar Al Khattab (RA) yang digelar 'Al Farouq' kerana benar-benar dapat membezakan antara yang hak dan yang batil. Pada siang hari, khidmat pada rakyatnya amat dititikberatkan tetapi pada malam hari, khalifah dan pahlawan yang digeruni itu menjadi pengecut seperti hati tikus, bila berhadapan dengan Tuhannya. Gemercikan cambuk yang membiratkan tubuhnya yang mulia terdengar di celah rintihan atas kelalaiannya yang kecil.

Sekiranya orang berkata kepadanya,"Ya Amirul Mukminin! Mengapa kejar unta walhal tuan telah menghuni kedudukan khalifah?"

Maka jawab beliau,"Ya sahabat! Dari Allah SWT yang mengutus Nabi Muhammad (S), seandainya ada unta yang terlepas lari ke sungai Furat, nescaya Umar ini akan dituntut di hari kiamat sebab tiada harga seorang pemimpin yang mengabaikan kepentingan kaum Muslimin dan orang fasiq yang mengganggu ketenangan kaum Muslimin."

Begitu juga pernah terjadi pada suatu hari, seorang pemuda telah tampil ke tengah padang pasir. Dia membuka bajunyadan berkubang sambil memaki-maki dirinya,"Nah! Rasakan panasnya pasir ini. Neraka Jahannam jauh lebih panas dari pasir ini. Di waktu malam kau tidur bergeletakan ibarat bangkai, di siang hari pula menganggur membuang masa!"

Kebetulan kejadian ini dilihat oleh Nabi yang sedang berteduh di bawah sepohon kayu.Nabi pun menghampirinya seraya berkata,"Mengapa begini?"

Jawab pemuda itu,"Aku selalu sahaja dikalahkan oleh diriku."

Nabi pun bersabda,"Sesungguhnya telah terbuka untukmu pintu langit dan telah dibanggakan oleh Allah SWT kepada para malaikat."

Lihatlah pula ketaqwaan Abu Talhah. Suatu hari soatnya telah lari dari kekhusyukan akibat kicauan burung di kebun tamarnya. Lantas dia menyedekahkan kebunnya sebagai denda atas dirinya. Bukanlah dia menjual kebun itu tetapi disedekahkannya. Sekiranya ia dijual, sudah tentu beliau mendapat hasil atau pulang balik modal. Tetapi kecintaan kepada Allah SWT terlalu tinggi jika dibanding dengan kecintaan terhadap hartanya. Kekhusyukan di dalam solat lebih utama kerana Allah SWT telah berfirman:

Sesungguhnya beruntunglah orang-orang beriman iaitu orang-orang yang khusyuk di dalam solatnya.

[Surah Al Mu'minun 23:1-2]

Kebencian kepada kelalaian telah menggerakkan hati mereka menggadaikan segala-galanya demi cinta kepada Allah SWT.

Diberitakan juga MuhammadBin Bisyr pada suatu hari telah menyaksikan Daud At Thaiy berbukapuasa dengan hanya memakan roti tanpa garam. Dia pun menegur,"Mengapa roti itu anda makan tanpa garam?"

Beliau menjawab,"Memang diriku sudah biasa dengan garam sejak bertahun-tahun.Namun si Daud takkan ku biarkan mengecap garam lagi selama berada di dunia ini."

Demikianlah beberapa lembaran kisah orang-orang salihin bagaimana mereka menghukum diri mereka setelah meneliti dan menghisab kelalaian diri sendiri. Telah menjadi kebiasaan mereka sekiranya terlanjur kesilapan yang dilakukan, mereka akan menghukum diri kerana bimbangkan kermurkaan Allah SWT.Hukuman yang dilakukan bukanlah kerana putus asa atau ingin menunjuk-nunjuk tetapi untuk menguatkan hati dengan latihan menuju kesejahteraan.

Mereka inilah sebenarnya orang yang adil kepada diri mereka. Mereka akan menghukum diri sebelum menghukum orang lain. Sekiranya mata meliar memandang yang haram, mata itulah yang akan dihukum. Walaupun tidak sengaja seperti Ghazwan apabila dia terpandang seorang pelayan wanita yang cantik, dia pun mengharamkan matanya dari memandang ke atas seumur hidup. Dia pun berkata pada dirinya,"Sesungguhnyaengkau sengaja mencari kesusahan dengan pandangan itu!"

Sekiranya termakan makanan yang syubahat, perut akan didera dengan puasa berbulan-bulan lamanya. Diusahakan mengeluarkan makanan itu sebelum menjadi darah daging sebagaimana Sayidina Abu Bakar (RA) telah menjolok tekaknya agar memuntahkan makanan yang syubahat. Beliau akan selalu berdoa,"Wahai Tuhanku! Janganlah Engkau bertindak atasku dengan apa yang telah dihisab untuk peluh dan yang telah bergaul dengan perut ini."

Hatinya sentiasa takut kepada Allah SWT.Jauh sekali dengan sikap kita.Makanan sudah tidak diindahkan lagi kebersihannya. Makanan syubahat tetap disumbat. Kita masih dimainkan dorongan nafsu, sama ada hendak makan atau tidak. Gelaplah hati maka susahlah hati untuk menerima cahaya kebenaran.

Hati tempat jatuhnya nur Allah SWT. Hati juga umpama bekas. Sekiranya bekas itu kotor dan berkarat, tiada seorangpun yang ingin mengisi makanan didalam bekas itu. Selayaknya ia menjadi tempat mebuang sampah. Begitu juga dengan nur Allah SWT, hanya akan jatuh pada hati yang bersih. Dalam tiap diri manusia tidak terlepas dari kejahata dua musuh yang tidak dapat dilihat iaitu nafsu dan syaitan. Perjuangan melawannya mesti dilakukan sehingga ia dianggap jihad yang paling besar. Ia memerlukan mujahadah yang kuat dan istiqamah.

Allah SWT telah berfirman:

dan sesungguhnya Allah akan menolong sesiapa yang menolong agamaNya.

[Surah Al Hajj 22:40]

Ini bermaksud sesiapa yang dapat mengalahkan musuh di dalam dirinya, barulah datang pertolongan Allah SWT.

Bagi orang-orang salihin, satu saat terlupa akan Allah SWT telah dirasakan berdosa. Dosa itu sekan gunung yang akan menghempap ke atas kepala mereka. Maka dicari punca kelalaian itu. Sekiranya harta-benda, pangkat malahan anak-anak atau isteri menjadi penyebab kelalaiannya, dia sanggup berpisah dengannya. Sememangnya cinta itu menagih pengorbanan. Biarkan diri terkorban agar cinta berbalas.

Mereka sanggup membelasah diri, menangis meraung-raung walhal dosa belum terlalu besar. Sekiranya mereka berada di zaman kita, nescaya mereka akan dianggap gila tetapi disisi Allah SWT mereka adalah mulia.

Mereka berterusan melakukan hukuman terhadap diri sendiri kerana bimbang setiap amalan tidak diterima. Ketakutan dan cemas pada neraka menyebabkan wajah-wajah mereka pucat kerana kurang tidur dari solat malam, mata kabur kerana banyak menangis dan bibir kuning kering kerana banyak berpuasa.

Hukumlah diri sendiri sebelum menghukum orang lain dan sebelum dihukum Allah SWT. Orang-orang beriman selalu menyangka buruk akan dirinya dan menyangka baik pada orang lain. Mereka rajin mengintai-ngintai kesalahan diri sendiri sehingga tiada masa untuk mengintai kesalahan orang lain. Jauh sekali untuk menuduh orang lain dengan tuduhan munafik kerana khuatir diri sendiri mempunyai ciri munafik ataupun tuduhan sesat kepada orang lain kerana bimbang dirinya juga tidak lari dari kesesatan. Kerana tiada siapa yang berani menjamin nasib di akhir hidupnya, sama ada terpelihara dari kesesatan ataupun tidak. Sedangkan saat akhir kehidupan itulah penting dan menjadi penentuan.

No comments:

Post a Comment