Language Medium

"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepada Allah, Tuhan sekalian alam."

"No reward do I ask of you for
what I have to say (from my Lord), my reward is only from Allah, the Lord of the Worlds"
[Surah Asy-Syu'ara' 26:109]

Language Medium: English & Bahasa Melayu

18 September 2011

Hakikat Demi Hakikat: Firman Di Dalam Dada

أعوذ بالله من الشيطان الرجيم

بسم الله الرحمن الرحيم



Sebenarnya,(Al Quran) itu adalah ayat-ayat yang jelas di dalam dada orang-orang yang berilmu.

[Surah Al Ankabut 29:49]









Hakikat Demi Hakikat:

Firman Di Dalam Dada

Hakikat - sesuatu yang tidak dapat ditiadakan atau dinafikan lagi, kebenaran, kenyataan.











Dari kacamata

Muhammad Fadhly

"Berpeganglah pada ilmu yang bersandarkan dengan akalmu, yang berpaut pada firmanNya."










Aku terdengar seorang lelaki tua berkata," Agama itu adalah perkara rohani. Mustahil kamu boleh samakan hal rohani dengan akal. Kamu hanya perlu percaya sahaja."

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak menggunakan akalnya.

[Surah Yunus 10:100]

Tahulah aku bahawa akal itu akan dituntut kelak dan agama itu mestilah difahami dengan pengertian akal, bukan sekadar percaya tanpa ilmu yang membawa kepada keyakinan.

-------------------------------

Aku terdengar seorang pemuda berkata,"Wah! Sekejapnya aku sudah berusia tiga puluh tahun. Begitu cepat masa berlalu."

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Dia (Allah) berfirman,"Berapa tahunkah lamanya kamu tinggal di bumi?"

Mereka menjawab,"Kami tinggal (di bumi) sehari atau setengah hari, maka tanyakanlah kepada mereka yang menghitung."

Dia (Allah) berfirman,"Kamu tinggal (di bumi) hanya sebentar, jika kamu benar-benar mengetahui."

[Surah Al Mukminun 23:112-114]

mereka saling berbisik satu sama lain,"Kamu tinggal (di dunia) tidak lebih dari sepuluh (hari)."

Kami lebih mengetahui apa yang mereka akan katakan, ketika orang yang paling lurus jalannya mengatakan,"Kamu tinggal (di dunia) tidak lebih dari sehari saja."

[Surah Taha 20:103-104]

Tahulah aku kehidupan di dunia sangatlah sementara.

-------------------------------

Aku terdengar seorang insan berkata," Jika kamu beramal begini dan begini, umur kamu boleh dipanjangkan."

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Dan Allah tidak akan menunda (kematian) seseorang apabila waktu kematiannya telah datang.

[Surah Al Munafiqun 63:11]

Tidak ada suatu umatpun yang dapat menyegerakan ajalnya dan tidak (pula) menangguhkannya.

[Surah Al Mukminun 23:43]

Tidak ada suatu umatpun yang dapat mendahului ajalnya dan tidak (pula) dapat meminta penundaan.

[Surah Al Hijr 15:5]

Tahulah aku bahawa usiaku telah ditetapkan dan tidak akan dipanjangkan.

-------------------------------

Aku terdengar seorang pemuda berkata,"Kalau kau hendak buat jahat, buatlah semasa kau masih muda-muda lagi. Nanti bila sudah kahwin atau sudah tua, kau bertaubatlah."

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Belum sampaikah lagi masanya bagi orang-orang yang beriman, untuk khusyuk hati mereka mematuhi peringatan dan pengajaran Allah serta mematuhi kebenaran (Al-Quran) yang diturunkan (kepada mereka)? Dan janganlah pula mereka menjadi seperti orang-orang yang telah diberikan Kitab sebelum mereka, setelah orang-orang itu melalui masa yang lanjut maka hati mereka menjadi keras dan banyak di antaranya orang-orang yang fasik (derhaka).

[Surah Al-Hadid 57:16]

Tahulah aku bahawa keimanan itu tidak boleh dilengahkan.

-------------------------------

Aku terdengar seorang kaya berkata,"Matilah kita kalau kita tidak ada duit. Susah hidup kita nanti. Siapa yang hendak beri kita makan?"

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Dan tiadalah sesuatupun dari makhluk-makhluk yang bergerak di bumi melainkan Allah jualah yang menanggung rezekinya dan mengetahui tempat kediamannya dan tempat dia disimpan. Semuanya itu tersurat di dalam Kitab (Luh Mahfuz) yang nyata (kepada malaikat-malaikat yang berkenaan).

[Surah Hud 11:6]

Dan (ingatlah) berapa banyak binatang yang tidak membawa rezekinya bersama, Allah jualah yang memberi rezeki kepadanya dan kepada kamu dan Dialah jua Yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

[Surah Al Ankabut 29:60]

Tenanglah hatiku kerana Allah yang menanggung dan menjamin rezeki bagi setiap makhlukNya.

-------------------------------

Aku terdengar seorang insan berkata,"Apakah kamu fikir rezeki itu jatuh dari langit?"

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Dan di langit terdapat rezekimu dan apa yang dijanjikan kepadamu.

[Surah Adz Dzariat 51:22]

Tahulah aku yang dari langitlah segala punca rezekiku.

-------------------------------

Aku terdengar seorang pemuda berkata, " Aku tidak mengerti. Kadangkala aku tidur awalpun, aku bangun lewat. Kadangkala aku tidur lewat, aku bangun awal."

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Dan Dialah yang menidurkan kamu pada waktu malam dan mengetahui apa yang kamu kerjakan pada siang hari; kemudian Dia bangunkan kamu (dari tidur) padanya, untuk disempurnakan ajal (masa umur kamu) yang telah ditetapkan. Kemudian kepadaNyalah tempat kamu kembali, kemudian Dia menyatakan kepada kamu apa yang kamu lakukan.

[Surah Al-An'am 6:60]

Tahulah aku bahawa Allah-lah yang menidurkan dan bangunkan aku dari tidurku.

-------------------------------

Aku terdengar seorang guru berkata,"Belajar tinggi-tinggi. Nanti dapat kerja yang bagus, gaji yang lumayan dan pangkat tinggi. Kau yang tentukan masa depan kau nanti."

Dan aku terdengar seorang usahawan berkata,"Aku menjadi kaya atas usaha, kepandaian dan kegigihan aku sendiri."

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Kami-lah yang membahagi-bahagikan antara mereka segala keperluan hidup mereka dalam kehidupan dunia ini, (setengahnya Kami jadikan kaya raya dan setengahnya miskin menderita) dan juga Kami lah yang menjadikan darjat setengah mereka tertinggi dari darjat setengahnya yang lain; (semuanya itu) supaya sebahagian dari mereka senang mendapat kemudahan menjalankan kehidupannya dari (bantuan) setengahnya yang lain dan lagi rahmat Tuhanmu (yang meliputi kebahagiaan dunia dan akhirat) adalah lebih baik dari kebendaan dan keduniaan semata-mata yang mereka kumpulkan.

[Surah Az-Zukhruf 43:32]

Tahulah aku bahawa Allah yang menentukan semua itu dan kita hanya mampu merancang.

-------------------------------

Aku terlihat seorang yang gemar melakukan dosa, yang kemudian menjadi seorang yang bertakwa dan aku terdengar kisah seorang yang bertaraf mulia keimanannya yang kemudian mati dalam keadaan tunduk kepada syaitan.

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Maka sesiapa yang Allah kehendaki untuk memberi hidayat petunjuk kepadanya nescaya Dia melapangkan dadanya (membuka hatinya) untuk menerima Islam dan sesiapa yang Allah kehendaki untuk menyesatkannya, nescaya Dia menjadikan dadanya sesak sempit sesempit-sempitnya, seolah-olah dia sedang mendaki naik ke langit (dengan susah payahnya). Demikianlah Allah menimpakan azab kepada orang-orang yang tidak beriman.

[Surah Al-An'am 6:125]

Allah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mahu mendapat hidayat petunjuk .

[Surah Al Qasas 28:56]

Dan tiadalah sebarang kuasa bagi seseorang untuk beriman melainkan dengan izin Allah dan Allah menimpakan azab atas orang-orang yang tidak mahu memahami (perintah-perintahNya).

[Surah Yunus 10:100]

(Al Quran) itu tidak lain adalah peringatan bagi seluruh alam,(iaitu) bagi siapa diantara kamu yang menghendaki menempuh jalan yang lurus. Dan kamu tidak dapat menghendaki (menempuh jalan itu) kecuali apabila dikehendaki Allah, Tuhan sekalian alam.

[Surah At Takwir 81:27-29]

Tahulah aku bahawa Allah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang mahukan petunjukNya dan Dia menyesatkan mereka yang ingkar lagi lalai.

-------------------------------

Aku terdengar seorang kaya berkata, "Kamu lihatlah orang-orang miskin itu. Sebab mereka malas berusahalah mereka ditimpa kemiskinan. Mereka bodoh dalam membuat pilihan. Bukan salah kamu jika kamu dilahirkan miskin tetapi jika kamu mati miskin, itu salah kamu!Ingat pesan Bill Gates."

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Dan demikianlah Kami uji sebahagian dari mereka (yang kaya raya) dengan sebahagian yang lain (yang fakir miskin); lalu orang-orang yang kaya itu berkata (kepada orang-orang fakir miskin yang beriman): Inikah orang-orangnya yang telah dikurniakan nikmat oleh Allah kepada mereka di antara kami? (Allah berfirman): Bukankah Allah lebih mengetahui akan orang-orang yang bersyukur?

[Surah Al-An'am 6:53]

Tahulah aku bahawa orang kaya itu gagal dari ujianNya.

-------------------------------

Aku melihat seorang merancang dengan penuh kemahiran dan teliti tetapi rancangannya gagal dan aku juga melihat seorang yang tidak merancang sesuatu apapun tetapi segalanya berjalan dengan lancar serta lulus.

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya).

[Surah Al-Insan 76:30]

Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.

[Surah At-Talaq 65:3]

Tahulah aku bahawa Allah sebaik-baik Perancang segala sesuatu dan Dialah yang menentukan segalanya.

-------------------------------

Seorang lelaki tua berkata,"Kalau kita kaya dengan harta atau senang maknanya kita dimuliakan Allah, kalau kita miskin atau susah itu tandanya kita dapat kemurkaan dari Allah."

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Dan Kami pecahkan mereka di dunia ini menjadi beberapa golongan; di antaranya ada orang-orang yang soleh dan ada yang tidak demikian. Dan Kami uji mereka dengan (nikmat) yang baik-baik dan (bencana) yang buruk-buruk, agar mereka kembali (kepada kebenaran).

[Surah Al A'raf 7:168]

Maka ada pun manusia apabila Tuhan mengujinya lalu memuliakannya dan memberi kesenangan, maka dia berkata,"Tuhanku memuliakan aku" Namun apabila Tuhan mengujinya lalu membatasi rezekinya, maka dia berkata,"Tuhanku telah menghina aku." Sekali-kali tidak demikian.

[Surah Al Fajr 89:15-16]

Tahulah aku bahawa kekayaan atau kemiskinan, kesenangan atau kesusahan, semua itu adalah ujian dari Allah SWT.

-------------------------------

Aku terdengar seorang bapa yang bertaraf ustaz berkata," Aku sudah mendidik anakku dengan segala ilmu yang aku miliki dan aku berikannya kasih sayangku tetapi dia tetap tidak beriman."

Dan aku juga terdengar seorang lelaki yang takut kepada Allah SWT sedangkan bapanya seorang ahli maksiat serta tidak mengindahkan keluarganya sendiri.

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Sesungguhnya kamu tidak berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi , tetapi Allah yang memberi petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya dan Allah yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mahu mendapat hidayat petunjuk .

[Surah Al Qasas 28:56]

Maka berilah peringatan kerana sesungguhnya engkau (Muhammad) hanyalah pemberi peringatan, engkau bukanlah orang yang berkuasa atas mereka.

[Surah Al Ghasiyah 88:21-22]

Dan Kami jadikan sebahagian kamu cobaan bagi sebahagian yang lain.Mahukah kamu bersabar?

[Surah Al Furqan 25:20]

Katakanlah kepada orang-orang beriman, hendaklah mereka memaafkan orang-orang yang tidak takut akan hari-hari Allah kerana Dia akan membalas sesuatu kaum sesuai dengan apa yang mereka kerjakan.

[Surah Al Jatsiyah 45:14]

Tahulah aku bahawa manusia hanya mampu menasihati manusia yang lain dan kita tidak mempunyai sebarang kuasa untuk membuat seseorang itu beriman. Itu semua urusanNya. Kita mestilah bersabar terhadap mereka yang ingkar dan memaafkan mereka.

-------------------------------

Seorang tua berkata,"Aku lebih berilmu daripada engkau dan aku sudah lebih banyak beramal daripada engkau."

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Maka janganlah kamu menganggap dirimu suci. Dia lebih mengetahui tentang orang yang bertakwa.

[Surah An Najm 53:32]

Tidakkah engkau perhatikan (dan merasa pelik wahai Muhammad) kepada orang-orang yang membersihkan (memuji) diri sendiri? (Padahal perkara itu bukan hak manusia) bahkan Allah jualah yang berhak membersihkan (memuji) sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan mereka pula tidak akan dianiaya (atau dikurangkan balasan mereka) sedikitpun.

[Surah An Nisa 4:49]

Tahulah aku bahawa Allah SWT melarang manusia menganggap diri mereka adalah suci dan memuji-muji diri sendiri.

-------------------------------

Aku terdengar seorang insan berkata,"Kau tengoklah Si Pendek itu. Sudahlah pendek, hendak pakai kasut tinggi lagi. Eh. Kau tahu tak? Semalam kan, aku nampak dia dengan jantan lain lagi."

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah sesuatu puak (kaum lelaki) mencemuh dan merendah-rendahkan puak lelaki yang lain, (kerana) boleh jadi mereka yang dicemuh itu lebih baik daripada mereka (yang mencemuh) dan janganlah pula sesuatu puak dari kaum perempuan mencemuh dan merendah-rendahkan puak perempuan yang lain, (kerana) boleh jadi mereka yang dicemuhkan itu lebih baik daripada mereka dan janganlah setengah kamu menyatakan keaiban setengahnya yang lain dan janganlah pula kamu panggil-memanggil antara satu dengan yang lain dengan gelaran yang buruk. (Larangan-larangan yang tersebut menyebabkan orang yang melakukannya menjadi fasik, maka) amatlah buruknya sebutan nama fasik (kepada seseorang) sesudah dia beriman dan (ingatlah), sesiapa yang tidak bertaubat (daripada perbuatan fasiknya) maka merekalah orang-orang yang zalim.

[Surah Al Hujuraat 49:11]

Allah tidak suka kepada perkataan-perkataan buruk yang dikatakan dengan berterus-terang (untuk mendedahkan kejahatan orang); kecuali oleh orang yang dianiayakan. Dan (ingatlah) Allah sentiasa Mendengar, lagi Maha Mengetahui.

[Surah An-Nisa' 4:148]

Tahulah aku bahawa Allah SWT melarang kita mengutuk orang lain dengan gelaran buruk apatah lagi membuka aibnya. Membuka aib orang lain hanya dibenarkan oleh orang yang dianiaya, sebagai membela diri atau menuntut hukuman atas penganiaya.

-------------------------------

Aku terdengar tentang seorang lelaki yang selalu buruk sangka dan suka mencari kesalahan orang lain dengan cara mengintip dan memberitahu pihak lain tentang keaiban orang yang diintipkan itu. Lalu perkara itu menjadi bahan mengumpat.

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Wahai orang-orang yang beriman! Jauhilah kebanyakan dari sangkaan (supaya kamu tidak menyangka sangkaan yang dilarang) kerana sesungguhnya sebahagian dari sangkaan itu adalah dosa dan janganlah kamu mengintip atau mencari-cari kesalahan dan keaiban orang dan janganlah setengah kamu mengumpat setengahnya yang lain. Adakah seseorang dari kamu suka memakan daging saudaranya yang telah mati? (Jika demikian keadaan mengumpat) maka sudah tentu kamu jijik kepadanya. (Oleh itu, patuhilah larangan-larangan yang tersebut) dan bertakwalah kamu kepada Allah; sesungguhnya Allah Penerima taubat, lagi Maha mengasihani.

[Surah Al Hujuraat 49:12]

Tahulah aku bahawa Allah SWT melarang kita untuk menyimpan perasaan buruk sangka, mengintip atau mengintai hal orang lain dengan tujuan mencari kesalahan, membuka aib orang lain dan mengumpat.

-------------------------------

Aku terdengar seorang anak muda mengeluh akan nasibnya,"Aduh! Mengapalah Allah tidak menjadikan kita semua senang dan mewah?"

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Dan kalaulah Allah memewahkan rezeki bagi setiap hambaNya, nescaya mereka akan melampaui batas di bumi (dengan perbuatan-perbuatan liar durjana); akan tetapi Allah menurunkan (rezekiNya itu) menurut kadar yang tertentu sebagaimana yang dikehendakiNya. Sesungguhnya Dia Mengetahui dengan mendalam akan segala keadaan hambaNya, lagi Melihat dengan nyata.

[Surah Asy Syuura 42:27]

Tahulah aku kadar rezekiku adalah dari kehendakNya dan aku harus bersyukur atas segala nikmat yang diberi olehNya.

-------------------------------

Aku terdengar seorang pegawai bank berkata,"Singapura ini negara serba cepat maju. Mana mungkin kamu boleh melarikan diri dari riba' ? Beli rumah, beli kereta semuanya gunakan duit pinjaman dari bank yang berunsur riba'. Simpan duit dalam bank pun sudah bersubahat dalam riba' kerana duit kamu itu digunakan untuk pelaburan."

Kemudian aku teringat akan firmanNya :

Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila. Keadaan mereka yang demikian itu, adalah disebabkan mereka berkata (berpendapat), sesungguhnya jual beli itu sama dengan riba, padahal Allah telah menghalalkan jual beli dan mengharamkan riba. Orang-orang yang telah sampai kepadanya larangan dari Tuhannya, lalu terus berhenti (dari mengambil riba), maka baginya apa yang telah diambilnya dahulu (sebelum datang larangan); dan urusannya (terserah) kepada Allah. Orang yang mengulangi (mengambil riba), maka orang itu adalah penghuni-penghuni neraka; mereka kekal di dalamnya. Allah memusnahkan riba dan menyuburkan sedekah. Dan Allah tidak menyukai setiap orang yang tetap dalam kekafiran, dan selalu berbuat dosa. Sesungguhnya orang-orang yang beriman, mengerjakan amal saleh, mendirikan sembahyang dan menunaikan zakat, mereka mendapat pahala di sisi Tuhannya. Tidak ada kekhawatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati. Hai orang-orang yang beriman, bertakwalah kepada Allah dan tinggalkan sisa riba (yang belum dipungut) jika kamu orang-orang yang beriman. Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba), maka ketahuilah, bahwa Allah dan Rasul-Nya akan merangimu. Dan jika kamu bertobat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu; kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya.

[Surah Al Baqarah 2:275-279]

Tahulah aku bahawa taubat itu adalah lebih baik bagi orang-orang beriman dan inilah punca ramai manusia menjadi gila(stress). Aku juga melihat mereka yang bersubahat dengan riba' adalah mereka yang mempunyai penyakit wahan.

-------------------------------

Wallahua'llam bissawab

,

No comments:

Post a Comment