Language Medium

"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepada Allah, Tuhan sekalian alam."

"No reward do I ask of you for
what I have to say (from my Lord), my reward is only from Allah, the Lord of the Worlds"
[Surah Asy-Syu'ara' 26:109]

Language Medium: English & Bahasa Melayu

22 July 2012

Futuhul Ghaib (Pembukaan Kepada Yang Ghaib)-Bab 3


Futuhul Ghaib
(Pembukaan Kepada Yang Ghaib)

oleh

Sheikh Abdul Qadir Al Jailani

Bab 3


Apabila seorang hamba itu diuji oleh Allah, maka mula-mulanya dia akan cuba melepaskan dirinya dari ujian dan cubaan yang menyusahkannya itu. Jika dia tidak berjaya, dia akan meminta pertolongan dari orang lain seperti raja-raja atau orang-orang yang berkuasa, orang-orang dunia, orang-orang hartawan, dan jika dia sakit dia akan pergi meminta pertolongan doktor atau bomoh. Jika ini pun tidak berjaya, maka kembalilah dia menghadapkan wajahnya kepada Allah S.W.T dan memohon sambil merayu kepadaNya. Selagi dia boleh menolong dirinya, dia tidak akan meminta pertolongan orang lain. Selagi pertolongan orang lain didapatinya, dia tidak akan meminta pertolongan Allah.

Jika dia tidak dapat pertolongan Allah, maka berterusanlah dia merayu, solat, berdo'a dan menyerahkan dirinya dengan penuh harapan dan cemas terhadap Allah S.W.T, Allah tidak akan menerima rayuannya sehingga dia memutuskan dirinya dengan keduniaan. Setelah putuslah dengan hal-hal keduniaan,maka ketentuan dan kerja Allah akan terzahir melalui  orang itu dan lepaslah dia dari hal-hal keduniaan. Tinggallah padanya ruh sahaja.

Pada peringkat ini tidaklah nampak olehnya melainkan kerja atau perbuatan Allah, dan tertanamlah dalam hatinya kepercayaan yang sebenar-benarnya tentang tauhid. Pada hakikatnya tidak ada pelaku atau penggerak atau yang mendiamkan kecuali Allah S.W.T. Tiada baik dan tiada jahat, tiada rugi dan tiada untung,dan tiada faedah dan tiada anugerah dan tiada sekatan, tidak terbuka dan tidak tertutup, mati dan hidup, mulia dan hina, kaya dan papa, bahkan segala-galanya adalah dalam tangan Allah.

Hamba Allah itupun seperti bayi dipangkuan ibunya atau seperti orang mati yang sedang mendiamkan atau seperti bola di kaki pemain bola, melambung , bergolek ke atas ke tepi ke tengah, sentiasa berubah tempat dan kedudukan. Tidak ada pada dirinya upaya dan daya. Maka lenyaplah dia keluar dari dirinya dan masuk ke dalam lakuan Allah semata-mata.

Si hamba Allah yang begini tidak nampak yang lain kecuali Allah dan perbuatan-perbuatanNya. Tiada yang di dengar dan diketahuinya kecuali Allah. Jika dia melihat sesuatu, maka dilihatnya perbuatan atau kerja Allah. Jika dia mendengar, maka didengarnya perkataan-perkataan Allah dan jika dia mengetahui sesuatu, maka diketahuinya dari pengetahuan Allah. Dia akan dianugerahi dengan anugerah Allah. Beruntunglah dia kerana hampirnya dengan Allah. Beliau akan diperhias dan dimuliakan. Redhalah dia dengan Allah. Bertambah hampirlah dia dengan Allah. bertambahlah cintanya kepada Allah. Bertambahlah seronoknya dalam mengenang Allah. Terdirilah dia di dalam Allah. Allah akan memimpinnya dan menghiasinya dengan pakaian cahaya ilmu Allah dan terbukalah kepadanya hijab yang melindunginya dari rahsia-rahsia Allah yang Maha Agung.  Beliau mendengar dan mengingati hanya dari Allah yang Maha Tinggi. Sentiasalah dia bersyukur dan solat di hadrat Allah S.W.T.

No comments:

Post a Comment