Language Medium

"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepada Allah, Tuhan sekalian alam."

"No reward do I ask of you for
what I have to say (from my Lord), my reward is only from Allah, the Lord of the Worlds"
[Surah Asy-Syu'ara' 26:109]

Language Medium: English & Bahasa Melayu

17 May 2011

Nota Panglima Fadhly: Mintak, Jangan Tak Mintak







A'udzubilla himinash shaitanirrajim.
Bismillahir Rahmanir Rahim.







"Mintak, Jangan Tak Mintak"

Oleh
Panglima Fadhly






Katakanlah (wahai Muhammad): (Tuhanku) ialah Allah Yang Maha Esa. Allah Yang menjadi tumpuan sekalian makhluk untuk memohon sebarang hajat. Dia tiada beranak dan Dia pula tidak diperanakkan. Dan tidak ada sesiapapun yang serupa denganNya.
[Surah Al Ikhlas 112:1-4]







Salam hormat kepada para pembaca yang dirahmati Allah!

Dalam nota saya kali ini adalah tentang kepentingan do'a di dalam kehidupan seorang Islam dan saya akan menyampaikan apa yang telah diilhamkan pada saya menurut firman Allah SWT di dalam kitabNya. Sayang sekali ada sesetengah umat Islam di zaman sekarang tidak tahu akan hakikat do'a malah ada juga yang tidak mempercayainya.


Hakikat do'a.

Do'a itu adalah meminta dan jika kita fikir dengan akal sihat kita, kita akan mendapati sifat meminta itu adalah sifat orang yang kekurangan/memerlukan contohnya seperti seorang pengemis. Kita wajiblah sedar bahawa diri kita yang tidak seberapa ini sebenarnya hanyalah seorang hamba walaupun mempunyai harta yang banyak atau pangkat di dunia. Sebab itulah agama Islam mengajarkan sifat rendah diri.

Tidak ada sesiapapun di langit dan di bumi melainkan dia akan datang kepada (Allah) Ar-Rahman, sebagai hamba.
[Surah Maryam 19:93]

Kita tidak tahu apa yang Allah SWT telah takdirkan atas diri kita. Jadi, mintalah padaNya kebaikan.Hakikatnya juga adalah kita sememangnya diciptakan untuk meminta pada Allah atas kekurangan pada diri kita.

Hai manusia, kamulah yang berkehendak kepada Allah dan Allah Dialah yang Maha Kaya(tidak memerlukan sesuatu) lagi Maha Terpuji.
[Surah Fathir 35:15]


Do'a itu adalah senjata bagi yang mengetahui hakikat do'a.



Berdo'a itu adalah ibadah yang wajib.

Do'a itu adalah ibadah. Mintalah kepada Allah SWT kerana Dia akan perkenankan. Sebagai seorang yang beriman, kita wajiblah meminta kepada Allah SWT kerana jika seorang hamba itu tidak mahu meminta kepada Tuhannya, bererti dia adalah seorang yang sombong lagi takbur kepada Penciptanya. Dan orang yang sombong tidak akan masuk syurga serta neraka Jahannam sebagai balasan.

Dan Tuhan kamu berfirman: Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu. Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepadaKu, akan masuk Neraka Jahannam dalam keadaan hina.
[Surah Ghaafir 40:60]


Tidaklah beriman seseorang itu jika dia tidak berdo'a kerana Allah SWT telahpun menetapkannya sedemikian rupa. Allah SWT tidak akan menghargai hambaNya yang tidak berdoa kepadaNya. Dan hambaNya yang tidak berdo'a itu akan dibalas dengan azabNya. Itulah balasan bagi orang yang tidak berdo'a kepadaNya.

Katakanlah (wahai Muhammad kepada golongan yang ingkar): Tuhanku tidak akan menghargai kamu kalau tidak adanya doa ibadat kamu kepadaNya; (apabila kamu telah mengetahui bahawa Tuhanku telah menetapkan tidak menghargai seseorang pun melainkan kerana doa ibadatnya) maka sesungguhnya kamu telahpun menyalahi (ketetapan Tuhanku itu); dengan yang demikian, sudah tentu balasan azab (disebabkan kamu menyalahi itu) akan menimpa kamu.
[Surah Al Furqan 25:77]


Do'a itu mudah hanya bagi orang yang khusyuk.


Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu.Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (iaitu) orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Tuhannya dan bahwa mereka akan kembali kepada-Nya.
[Surah Al-Baqarah 2:45-46]
Dan Allah SWT menegaskan lagi di dalam ayat berikut:

Hai orang-orang yang beriman, mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan (mengerjakan) salat, sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.
[Surah Al Baqarah 2:153]


Ayat-ayat diatas menunjukkan bahawa Allah memerintah manusia menjadikan sabar dan solat sebagai penolong kita kerana sifat sabar itu hanya bagi orang-orang beriman. 'Sabar dan solat' yang dimaksudkan di sini termasuklah do'a. Sabar bermakna tidak tergesa-gesa dalam do'a yang kemudiannya terus putus asa dari rahmat Allah SWT. Amaran! Putus asa dari rahmat dan pertolongan Allah SWT itu hanya bagi kaum yang kafir.

dan janganlah kamu berputus asa dari rahmat serta pertolongan Allah. Sesungguhnya tidak berputus asa dari rahmat dan pertolongan Allah itu melainkan kaum yang kafir.
[Surah Yusuf 12:87]

Bukanlah niat saya hendak mengkafirkan sesiapa tetapi ini adalah firman Allah SWT. Tidaklah masuk akal jika seseorang itu mengaku dirinya Islam sedangkan tidak yakin dengan kekuasaan Allah SWT. Bagi orang yang beriman, mereka yakin akan kuasa Allah SWT. Yakinlah akan kekuasaan Allah SWT kerana Dialah yang Maha Berkuasa atas apa sahaja yang Dia kehendaki dan itu amatlah mudah bagi Allah SWT.

Allah Pencipta langit dan bumi, dan bila Dia berkehendak (untuk menciptakan) sesuatu, maka (cukuplah) Dia hanya mengatakan kepadanya: "Jadilah". Lalu jadilah ia.

[Surah Al Baqarah 2:117]


Janji Allah untuk orang-orang beriman.

Allah SWT telah berjanji bahawa jika kita sentiasa mengingatiNya, Dia akan mengingati kita.

Maka ingatlah kepadaKu nescaya Aku akan ingat kepadamu. Dan bersyukurlah kepadaKu dan janganlah kamu kufur (akan nikmatKu).
[Surah Al-Baqarah 2:152]


Allah SWT telah berjanji akan selamatkan orang-orang yang beriman lagi bertakwa.

Dan Kami selamatkan orang-orang yang beriman, serta yang selalu bertakwa.
[Surah An Naml 27:53]


Allah SWT telah berjanji bahawa Dia hanya akan memakbulkan do'a hambaNya yang memenuhi kehendakNya, beriman kepadaNya dan selalu berada dalam kebenaran.

Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, maka (jawablah), bahwasanya Aku adalah dekat. Aku mengabulkan permohonan orang yang berdoa apabila ia memohon kepada-Ku, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah) Ku dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku, agar mereka selalu berada dalam kebenaran.
[Surah Al Baqarah 2:186]


Allah SWT telah berjanji bahawa Dia hanya akan makbulkan do'a hambaNya yang berusaha dengan bersungguh-sungguh untuk memenuhi kehendakNya dan yang berusaha membaiki amalan mereka.

Dan orang-orang yang berusaha dengan bersungguh-sungguh kerana memenuhi kehendak agama Kami, sesungguhnya Kami akan memimpin mereka ke jalan-jalan Kami (yang menjadikan mereka bergembira serta beroleh keredaan) dan sesungguhnya (pertolongan dan bantuan) Allah adalah berserta orang-orang yang berusaha membaiki amalannya.

[Surah Al Ankabut 29:69]


Dari ayat-ayat di atas menunjukkan bahawa do'a orang yang beriman, bertakwa, bersabar, berusaha membaiki amalannya, selalu di dalam kebenaran dan berusaha memenuhi kehendak Allah SWT, akan dimakbulkan.

Iblis laknatullah itu pun berdo'a.

Sedangkan Iblis laknatullah itu berdo'a kepada Allah, apatah lagi kita sebagai manusia? Jika manusia tidak mahu berdo'a, maka dia lebih sombong dari Iblis laknatullah. Na'udzubillah.

Iblis memohon: Berilah tempoh kepadaku hingga hari mereka dibangkitkan (hari kiamat). Allah berfirman: Sesungguhnya engkau dari golongan yang diberi tempoh (ke suatu masa yang tertentu).
[Surah Al A'raf 7:14-15]





Hati-hati dengan apa yang diminta.


Bagi mereka yang meminta kebaikan dunia sahaja, mereka itu adalah insan yang paling rugi. Bagi mereka yang meminta kebaikan di dunia dan akhirat, mereka adalah insan yang beruntung.

Maka di antara manusia ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami (kebaikan) di dunia", dan tiadalah baginya bahagian (yang menyenangkan) di akhirat.Dan di antara mereka ada orang yang berdoa: "Ya Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari siksa neraka".
[Surah Al Baqarah 2:200-201]
Dalam nota saya yang lain, saya telah menunjukkan bahawa kehidupan serba mewah itu bukanlah bagi orang-orang beriman. Contohnya, seorang Islam membeli kereta mewah seperti Ferrari. Apakah tujuan asalnya untuk memiliki sebuah kereta seperti itu? Sudah tentulah untuk menunjuk-nunjuk. Fikirkanlah. Pertama, kereta itu sudahlah terlampau mahal harganya. Kedua, kereta itu hanya boleh muat dua orang. Ketiga, kereta itu tidak boleh dijadikan kegunaan harian sebab ia menggunakan enjin "performance" yang nyawanya lebih pendek dibandingkan dengan enjin kereta biasa. Keempat,belanja sebulan untuk menjaga kereta Ferrari boleh sahaja sama dengan belanja memberi anak dan isteri makan berbulan-bulan. Jika semua duit itu digunakan untuk anak-anak yatim, orang miskin yang anak-anak mereka tidak mampu ke sekolah, dan orang-orang yang lebih memerlukan, itukan lebih mulia dan itulah yang diajar oleh Nabi Muhammad [S]. Bermakna orang yang beli kereta Ferrari itu membazir dan membazir itu adalah kawan syaitan. Ditambah pula dengan kebanggaan mempunyai kereta Ferrari, tidak dapatlah orang yang sombong masuk syurga. Dari itu, tiadalah ia langsung bermanfaat melainkan hanya di dunia pada dirinya sendiri.Inilah yang dimaksudkan kebaikan di dunia sahaja.

Sesungguhnya orang-orang yang boros itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.
[Surah Al-Isra' 17:26-27]

Lain pula kalau rumah besar. Sebab rumah yang besar boleh ditumpangkan kepada sesiapa yang tiada rumah. Sekurang-kurangnya rumah besar ada manfaatnya dan peluang untuk berbakti. Melainkan rumah yang besar itu didiami untuk beberapa orang sahaja, barulah ia dikira membazir. Dan jangan lupakan soal wang pinjaman(loan) dari bank yang mempunyai unsur riba'(interest). Haram! Dan amat merbahaya.

Orang-orang yang makan (mengambil) riba tidak dapat berdiri melainkan seperti berdirinya orang yang kemasukan setan lantaran (tekanan) penyakit gila.
[Surah Al Baqarah 2:275]


Oleh yang demikian, fikirkanlah dahulu dan mintalah apa yang baik bagi kamu di dunia dan akhirat. Harus saya ingatkan bahawa jauhkan diri daripada orang yang cintakan dunia kerana ia adalah penyakit yang amat merbahaya bagi umat akhir zaman ini. [Baca nota saya tentang "Orang Dunia" untuk mengetahui tentang penyakit itu.]

Dan di antara manusia ada orang yang ucapannya tentang kehidupan dunia menarik hatimu, dan dipersaksikannya kepada Allah (atas kebenaran) isi hatinya, padahal ia adalah penentang yang paling keras.
[Surah Al Baqarah 2:204]

Hati-hati dengan apa yang kita berdo'a kerana kita akan dipertanggungjawabkan dengan apa yang kita lakukan atas nikmat yang diberi. Setiap nikmat akan dipersoalkan di akhirat kelak.

Selain dari itu, sesungguhnya kamu akan ditanya pada hari itu, tentang segala nikmat (yang kamu telah menikmatinya)!

[Surah At Takathur 102:8]


======================

Tempat dan masa berdoa.


Sebaik-baiknya kita berdo'a di dalam keadaan yang bersih melainkan jika benar-benar terpaksa atau di dalam keadaan darurat. Kita boleh berdo'a pada bila-bila masa dan ada juga pada masa-masa/tempat yang lebih baik bersandarkan pendapat para ulama' yang telah menghabiskan masa hayat mereka dalam menelaah agama Islam. Berikut adalah masa-masa/tempat yang disebutkan tadi:

  • Hari Jumaat
  • Masa diantara azan dan qamat
  • Penghujung malam iaitu sepertiga malam yang terakhir
  • Setiap kali lepas solat
  • Sepanjang bulan ramadhan
  • Ketika berbuka puasa
  • Terbangun di tengah malam
  • Ketika turunnya hujan
  • Hari Arafah
  • Di Masjidil Haram, Masjid Nabawi dan Masjid Al Aqsa
  • Di Ka'abah, Multazam dan Maqam Ibrahim
  • Di(Masjid Nabawi) dalam kawasan Raudhah dan di hadapan Maqam Nabi Muhammad[S]

Maratib do'a

Maratib adalah perkataan jamak dari asal kata "martabat" yang bererti peringkat. Jadi maratib do'a itu bermakna peringkat do'a. Ada 4 peringkat do'a yang akan dijelaskan nanti. Maratib do'a yang paling utama dan pertama adalah

1. Do'a yang diajarkan Allah SWT

Ini merupakan do'a yang diajarkan oleh Allah SWT melalui Al Quran yang suci. Sudah tentulah Allah SWT akan menyukai hambaNya apabila dia mengamalkan do'a-do'a yang diajarkan olehNya.

2. Do'a para Nabi

Para Nabi merupakan contoh yang paling terbaik di kalangan umatnya. Jadi tidak syak lagi do'a-do'a dari mereka adalah baik sekali.Terutama sekali Nabi junjungan kita Nabi Muhammad [S].

Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah daku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

[Surah Ali Imran 3:31]
3. Do'a para Rasul

Para Rasul adalah insan yang mulia sesudah Nabi. Maka do'a-do'a mereka juga merupakan contoh yang baik.

4. Do'a sendiri.

Setelah maratib do'a yang telah dijelaskan diatas, do'a yang lebih baik adalah do'a yang keluar dari hati sendiri dengan ikhlas. Contohnya do'a anak untuk ibubapa, do'a guru untuk muridnya, do'a suami untuk isterinya, do'a rakyat untuk pemerintahnya, do'a untuk diri sendiri dan lain-lain lagi.

Ijazah dalam do'a

Contoh ijazah dalam do'a itu adalah jika seseorang itu menerima sebuah amalan/do'a, dia harus meminta izin dari guru yang mengajarkan do'a tersebut. Jika tidak amalan/do'anya tidak menjadi. Ini adalah ajaran yang karut dan tidak masuk akal. Yang memakbulkan do'a itu adalah Allah SWT. Jadi mengapa perlu minta izin dari makhlukNya? Ini sebenarnya adalah teknik marketing pada zaman dahulu untuk menambah jumlah anak muridnya supaya kononnya ilmunya itu dihakciptakan atas nama guru tersebut(jadi ustaz/ustazah dapat duit yuran ).

Antara 4 sebab do'a tidak dimakbulkan

1. Dosa yang bertimbun

Kotoran dosa orang yang masih belum bertaubat tidak akan diterima sebelum dia bertaubat dahulu. Dosanya menjadi penghalang dari dimakbulkan do'anya malah akan buta mata hatinya untuk berdo'a kerana dosa itu akan menjadi selaput yang menutupi mata hatinya.

Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.
[Surah Al Mutaffiffin 83:14]

2. Makan dan pakai yang haram

Barangan yang haram nilainya adalah najis. Begitu juga jika kamu di dalam sebuah temuduga untuk mendapatkan pekerjaan. Dan kamu pula berpakaian busuk kerana penuh dengan najis. Apakah si majikan itu akan memenuhi permohonan kamu dan mengambil kamu sebagai pekerjanya? Apa lagi jika kamu berjumpa dengan Allah SWT dalam keadaan yang penuh kekotoran?

3. Hati yang lalai

Apa yang dimaksudkan di sini adalah hati yang tidak khusyuk/fokus dalam do'a. Apakah Allah SWT akan mengabulkan do'a orang yang tidak bersungguh-sungguh? Ini juga berpunca dari bergaul dengan orang-orang yang hatinya lalai dari mengingati Allah SWT dan Al Quran. Jauhkanlah hal yang demikian dengan berdamping rapat dengan orang-orang beriman.
Dan sebutlah serta ingatlah akan Tuhanmu dalam hatimu, dengan merendah diri serta dengan perasaan takut (melanggar perintahnya) dan dengan tidak pula menyaringkan suara, pada waktu pagi dan petang dan janganlah engkau menjadi dari orang-orang yang lalai.
[Surah Al A'raff 7:205]
Dan jadikanlah dirimu sentiasa berdamping rapat dengan orang-orang yang beribadat kepada Tuhan mereka pada waktu pagi dan petang, yang mengharapkan keredaan Allah semata-mata dan janganlah engkau memalingkan pandanganmu daripada mereka hanya kerana engkau mahukan kesenangan hidup di dunia dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami ketahui hatinya lalai daripada mengingati dan mematuhi pengajaran Kami di dalam Al-Quran, serta dia menurut hawa nafsunya dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran.
[Surah Al-Kahfi 18:28]



4. Menyerupai amalan agama lain

Amalan yang dimaksudkan seperti meniup lilin selepas berhajat/berdo'a di harijadi, menggunakan perantaraan seperti berhala, menuliskan hajat di dalam kertas lalu dihanyutkan ke laut/sungai atau diterbangkan dengan layang-layang, do'a berupa nyanyian dan lain-lain lagi. Perbuatan sedemikian tidak akan mendatangkan manfaat malah berdosa. Dari itu ikutlah sunnah Nabi Muhammad [S].

Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya dan janganlah kamu menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertakwa.
[Surah Al-An'am 6:153]

Dari sebuah kisah Ibrahim Adham, seorang kekasih Allah SWT yang sangat masyhur pernah ditanya oleh orang ramai ketika beliau berada di tengah pasar Basrah, mengapa doa kami tidak dimakbulkan Allah pada hal kami selalu berdoa.

Ibrahim Adham menjawab: "Kerana hati kamu buta (mati) disebabkan sepuluh perkara, iaitu":

  • Kamu mengenal Allah tetapi kamu tidak menunaikan hak-Nya.
  • Kamu sangka kamu cintakan Rasulullah tetapi kamu tinggalkan sunnahnya.
  • Kamu membaca al-Quran tetapi kamu tidak beramal dengannya.
  • Kamu makan nikmat Allah tetapi kamu tidak bersyukur kepada-Nya.
  • Kamu mengaku syaitan itu musuh kamu tetapi kamu tidak menentangnya.
  • Kamu mengaku syurga itu benar tetapi kamu tidak beramal untuknya.
  • Kamu mengaku neraka itu benar tetapi kamu tidak lari daripadanya.
  • Kamu mengaku mati itu benar tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
  • Kamu bangun dari tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia tetapi kamu lupakan keaiban kamu sendiri.
  • Kamu kebumikan mayat saudara-saudara kamu tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripadanya.

Selamat beramal dan semoga peringatan ini akan membawa manfaat kepada kita semua! Amin.

No comments:

Post a Comment