
Dalam nota ini akan membincangkan tentang isu da'wah dengan rendah diri.
Ramai orang Islam yang memberi nasihat antara satu sama lain. Akan tetapi, adakah kita yang beriman ini mengikut adab berda'wah atau bernasihat mengikut cara yang diperintahkan oleh Allah yang Maha Bijaksana?
Seorang yang tidak berakal dan tidak berilmu, apabila dia ingin "berda'wah" atau "bernasihat", dia tidak akan memikirkan tentang perasaan malu orang lain. Dia tidak pedulikan jika aib orang itu terbuka kerana dia lupa akan perintah Allah. Tanyalah diri anda. Adakah nabi-nabi terdahulu menasihat kaumnya dengan kata-kata kesat atau sindir-menyindir? Bukankah dengan kata-kata kesat dan sindiran itu hanya akan melukakan hati orang itu? Apakah kamu fikir bahawa orang yang hatinya tersinggung oleh kata-kata kamu akan mendengar nasihat kamu? Apa gunanya jika mempunyai ilmu tetapi tidak dapat dimanfaatkan?
Ini adalah masalah yang sering kita lihat di kalangan masyarakat zaman ini. Mari kita kembali kepada firman Allah.
Serulah ke jalan Tuhanmu (wahai Muhammad) dengan hikmat kebijaksanaan dan nasihat pengajaran yang baik dan berbahaslah dengan mereka (yang engkau serukan itu) dengan cara yang lebih baik; sesungguhnya Tuhanmu Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang yang sesat dari jalanNya dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang mendapat hidayat petunjuk.
[Surah An Nahl 16:125]
Allah memerintah kepada Nabi Musa dan Harun menasihati firaun yang mengaku dirinya Tuhan, dengan kata-kata yang baik. Apatah lagi jika kita ingin menasihati yang beragama Islam sendiri !
Berikanlah, hai Musa dan Harun, kepada firaun nasihat-nasihat yang baik dengan bahasa yang halus, mudah-mudahan ia mahu ingat dan menjadi takut kepada Allah.
[Surah Taha 20:44]
Janganlah terjadinya kita tetap dengan kesilapan ini dan sendiri memikirkan bahawa kita ini sentiasa betul. Jika tidak, rugilah segala amal kita.
Katakanlah (wahai Muhammad): Mahukah Kami khabarkan kepada kamu akan orang-orang yang paling rugi amal-amal perbuatannya?(Iaitu) orang-orang yang telah sia-sia amal usahanya dalam kehidupan dunia ini, sedang mereka menyangka bahawa mereka sentiasa betul dan baik pada apa sahaja yang mereka lakukan.
[Surah Al Kahfi 18:103-104]
Janganlah kita tergolong didalam orang-orang yang suka menyebarkan keburukan orang lain, lebih-lebih lagi mereka yang beriman kerana balasan dari Allah sangatlah seksa di dunia dan akhirat.
Sesungguhnya orang-orang yang suka terhebah tuduhan-tuduhan yang buruk dalam kalangan orang-orang yang beriman, mereka akan beroleh azab seksa yang tidak terperi sakitnya di dunia dan di akhirat dan (ingatlah) Allah mengetahui (segala perkara) sedang kamu tidak mengetahui (yang demikian).
[Surah An Nur 24:19]
Dan janganlah pula, apabila kita sudah mempunyai ilmu, kita merasakan diri kita ini lebih dari orang lain kerana Allah tidak suka orang yang sombong.
Tiada sesuatu bencana yang ditimpakan di bumi atau pada diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam kitab(azal)sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya hal yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bangga dengan apa yang diberikan kepada kamu dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.
[Surah Al Hadid 57:22-23]
Dan janganlah engkau memalingkan mukamu (kerana memandang rendah) kepada manusia, dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong; sesungguhnya Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur, lagi membanggakan diri.
[Surah Luqman 31:18]
Dan janganlah engkau berjalan di bumi dengan berlagak sombong, kerana sesungguhnya engkau tidak akan dapat menembusi bumi dan engkau tidak akan dapat menyamai setinggi gunung-ganang.
[Surah Al Isra' 17:37]
Ingatlah! Da'wah adalah perkara yang wajib bagi orang-orang yang beriman.
Demi Masa.Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian;Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.Dan jalankan da'wah dengan rendah diri. Jika ada yang masih berdegil, tinggalkan mereka.
[Surah Al Asr 103:1-3]
Dan berilah peringatan serta amaran kepada kaum kerabatmu yang dekat.Dan hendaklah engkau merendah diri kepada pengikut-pengikutmu dari orang-orang yang beriman.Kemudian jika mereka berlaku ingkar kepadamu, maka katakanlah: Sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu lakukan!
[Surah Asy Syu'ara 26: 214-216]
Dan janganlah kita fikir bahawa diri kitalah yang membuat seseorang itu berubah menjadi baik! Allah yang Maha Berkuasa, bukan kamu!
Sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) tidak berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang engkau kasihi (supaya dia menerima Islam), tetapi Allah jualah yang berkuasa memberi hidayat petunjuk kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut undang-undang peraturanNya) dan Dialah jua yang lebih mengetahui akan orang-orang yang (ada persediaan untuk) mendapat hidayat petunjuk (kepada memeluk Islam).
[Surah Al Qasas 28:56]
Sebab itulah kita diperintah supaya merendah diri! Ingatlah!
Berdoalah kepada Tuhan kamu dengan merendah diri dan (dengan suara) perlahan-lahan. Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang yang melampaui batas.
[Surah Al A'raf 7:55]
Semoga Allah menyelamatkan kita semua.
Wallahua'lam.
Segala yang baik adalah dari Allah dan yang buruk adalah dari diri saya.
No comments:
Post a Comment