
Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).Dan hal Kami (dalam melaksanakan apa yang Kami kehendaki), hanyalah satu cara sahaja, (cepat jadinya) seperti sekelip mata.
[Surah Al Qamar 54:49-50]
Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.
[Surah At-Talaq 65:3]
Dalam nota ini akan membincangkan sedikit tentang takdir dari apa yang telah ditunjukkan kepada saya. Takdir itu adalah kehendak Allah sama ada baik atau buruk. Setiap perkara yang belum, akan datang dan yang sedang terjadi, semuanya itu telah tertulis di dalam kitab azali. Sebagai seorang Islam, kita wajib beriman dengan takdir-Nya(qada' dan qadar) kerana ia merupakan rukun iman yang keenam. Ingatlah akan firman-Nya:
Tidak ada sesuatu bencana yang ditimpakan di bumi atau pada diri kamu sendiri, melainkan telah sedia ada di dalam kitab(azal) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya hal yang demikian itu adalah mudah bagi Allah.Supaya kamu tidak bersedih hati akan apa yang telah luput daripada kamu dan tidak pula bangga dengan apa yang diberikan kepada kamu dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang sombong takbur lagi membanggakan diri.
[Surah Al Hadid 57:22-23]
Dan pada sisi Allah jualah anak kunci perbendaharaan segala yang ghaib, tiada sesiapa yang mengetahuinya melainkan Dialah sahaja dan Dia mengetahui apa yang ada di darat dan di laut dan tidak gugur sehelai daun pun melainkan Dia mengetahuinya, dan tidak gugur sebutir bijipun dalam kegelapan bumi dan tidak gugur yang basah dan yang kering, melainkan (semuanya) ada tertulis di dalam kitab (Luh Mahfuz) yang terang nyata.
[Surah Al-An'am 6:59]
Namun ada sesetengah hamba-Nya yang memberi alasan atas kemunkaran yang mereka lakukan adalah disebabkan oleh Allah. Ini adalah pemahaman yang sesat kerana telah menyalahkan takdir Allah atas kesalahan yang dilakukan sendiri. Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.Sangatlah jelas Allah telah berfirman di dalam ayat-ayat berikut:
Oleh itu, mereka ditimpa azab sebagai balasan perbuatan jahat yang mereka lakukan; dan azab Allah itu meliputi mereka sebagai balasan bagi apa yang mereka telah ejek-ejek dahulu.
[Surah An Nahl 16:34]
Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).
[Surah Ar Rum 30:41]
(Dengan dikatakan kepadanya): Azab yang demikian ini ialah disebabkan perbuatan tanganmu sendiri, kerana sesungguhnya Allah tidak sekali-kali berlaku zalim kepada hamba-hambaNya.
[Surah Al-Hajj 22:10]
Katakanlah lagi: Sekiranya aku sesat maka bahaya kesesatanku akan menimpa diriku sendiri dan jika aku beroleh hidayat petunjuk maka yang demikian disebabkan apa yang telah diwahyukan oleh Tuhanku kepadaku; sesungguhnya Dia Maha Mendengar, lagi Maha Dekat.
[Surah Saba' 34:50]
Amatlah benar sebagai hamba Allah, kita tiadalah berkemahuan melakukan sesuatu perkara melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah seperti di dalam firman-Nya:
Dan tiadalah kamu berkemahuan (melakukan sesuatu perkara) melainkan dengan cara yang dikehendaki Allah; sesungguhnya Allah adalah Maha Mengetahui, lagi Maha Bijaksana (mengaturkan sebarang perkara yang dikehendakiNya).
[Surah Al-Insan 76:30]
Akan tetapi sebagai hamba Allah, kita diberikan akal fikiran untuk memilih diantara dua jalan iaitu jalan pada kebaikan dan jalan pada kemunkaran. Janganlah hendaknya kita memilih kemunkaran kerana setiap maksiat yang dilakukan akan menjadi selaput kekotoran dosa yang akan membutakan mata hati kita.Sebagaimana Allah telah berfirman:
Sebenarnya! (Ayat-ayat Kami itu tidak ada cacatnya) bahkan mata hati mereka telah diselaputi kekotoran (dosa), dengan sebab (perbuatan kufur dan maksiat) yang mereka kerjakan.
[Surah Al Mutaffiffin 83:14]
Janganlah hendaknya kita tergolong dalam orang-orang musyrik yang dikisahkan dalam ayat-ayat berikut:
Orang-orang musyrik akan mengatakan: Kalau Allah menghendaki tentulah kami dan datuk nenek kami tidak mempersekutukanNya (dengan sesuatu yang lain) dan tidak pula kami haramkan sesuatu apa pun. Demikianlah juga orang-orang yang dahulu sebelum mereka telah mendustakan (Rasul-rasul) sehingga mereka merasai azab seksa Kami. Katakanlah: Adakah kamu mempunyai (sesuatu keterangan yang berdasarkan) ilmu supaya dapat kamu tunjukkan kepada kami? Tiadalah kamu menurut melainkan sangkaan semata-mata dan kamu pula tidak lain hanyalah berdusta.
[Surah Al An'am 6:148]
Dan berkatalah orang-orang kafir musyrik: Kalaulah Allah menghendaki, tentulah kami tidak menyembah selain daripadanya sesuatupun, (tidak) kami dan tidak juga datuk nenek kami dan tentulah kami tidak mengharamkan sesuatu pun dengan ketiadaan perintahnya. Demikianlah juga yang telah dilakukan oleh orang-orang yang terdahulu daripada mereka. (Apa yang mereka katakan itu adalah salah semata-mata) kerana bukankah Rasul-rasul semuanya tidak bertanggungjawab selain daripada menyampaikan (kehendak dan hukum Allah) dengan cara yang jelas nyata?
[Surah An Nahl 16:35]
Ingatlah! Sekiranya kita sebagai makhluk yang pelupa, yang telah melakukan dosa dan melampaui batas, maka hendaklah kita segera bertaubat kepada-Nya. Sesungguhnya Allah itu Maha Pengampun lagi Maha Penyayang. Ingatlah akan firman-Nya:
Katakanlah (wahai Muhammad): Wahai hamba-hambaKu yang telah melampaui batas terhadap diri mereka sendiri (dengan perbuatan-perbuatan maksiat), janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah, kerana sesungguhnya Allah mengampunkan segala dosa; sesungguhnya Dialah jua Yang Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.
[Surah Az-Zumar 39:53]
Dan ingatlah juga, kehidupan di dunia ini adalah satu ujian bagi hamba-Nya. Hendaklah kita berserah kepada-Nya atas ujian-Nya kepada diri kita. Ujian itu pasti akan datang dalam berbagai bentuk sebelum kita dapat memasuki syurga-Nya. Mintalah pertolongan Allah dengan kesabaran dan solat yang khusyu'. Ingatlah firman-Nya:
Apakah kamu menyangka bahawa kamu akan masuk syurga sedangkan belum lagi datang kepadamu(ujian) apa yang telah mengenai orang-orang yang terdahulu dari kamu; mereka dirasakan dengan kesakitan dan kepapaan dan digoncangkan (pegangan) mereka sehingga berkata oleh rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya "Bilakah lagi datang pertolongan Allah?" Ingatlah sesungguhnya pertolongan Allah itu hampir.
[Surah Al Baqarah 2: 214]
Jadikanlah sabar dan solat sebagai penolongmu.Dan sesungguhnya yang demikian itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyu’, (iaitu) orang-orang yang meyakini bahwa mereka akan menemui Tuhannya dan bahwa mereka akan kembali kepada-Nya.
[Surah Al-Baqarah: 45-46]
Semoga kita semua tergolong di dalam golongan yang sedikit seperti dalam firman-Nya:
Dan sememangnya sedikit sekali di antara hamba-hambaKu yang bersyukur.
[Surah Saba' 34:13]
Mereka itulah orang yang didekatkan(kepada Allah). Berada di dalam syurga kenikmatan. Segolongan besar dari orang-orang terdahulu, dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian(umat Nabi Muhammad).
[Surah Al Waqi'ah 56:11-14]
Wallahua'lam.
Segala yang baik adalah dari Allah dan yang buruk adalah dari diri saya.
No comments:
Post a Comment