Language Medium

"Dan aku tidak meminta kepada kamu sebarang upah mengenai apa yang aku sampaikan (dari Tuhanku), balasanku hanyalah terserah kepada Allah, Tuhan sekalian alam."

"No reward do I ask of you for
what I have to say (from my Lord), my reward is only from Allah, the Lord of the Worlds"
[Surah Asy-Syu'ara' 26:109]

Language Medium: English & Bahasa Melayu

08 August 2012

Futuhul Ghaib-Bab 6


Futuhul Ghaib
(Pembukaan Kepada Yang Ghaib)

oleh

Sheikh Abdul Qadir Al Jailani

Bab 6


Jauhkanlah diri dari orang ramai dengan perintah Allah dan dari nafsu kamu dengan perintahNya dan dari kehendakmu dengan lakuanNya, agar kamu layak menjadi bekas untuk mengisi ilmu Allah. Tanda kamu telah menjauhkan diri dari orang ramai ialah kamu telah seluruhnya memutuskan segala hubungan dengan orang ramai dan membebaskan fikiran-fikiran kamu dari segala apa yang bersangkutan dengan mereka.

Tanda kamu telah putus dari nafsu-nafsu kamu ialah kamu telah membuang segala usaha dan daya untuk dunia dan perhubungan dengan cara-cara dunia untuk mendapatkan apa-apa faedah dan menghindarkan bahaya dan kamu janganlah bergerak untuk kepentingan kamu sendiri. Janganlah kamu bergantung pada diri sendiri tentang perkara yang bersangkutan dengan diri kamu, janganlah melindungi diri kamu dan menolong diri sendiri. Serahhlah segala-galanya kepada Allah kerana Dialah yang menjaga dan memelihara segala-galanya semejak dari azali lagi sehingga abadi selama-lamanya. Dialah yang menjaga kamu dalam perut ibumu sebelum kamu lahir dan Dialah yang memelihara kamu semasa kamu masih bayi.

Tanda kamu telah hilang dari kehendak kamu dengan lakuan atau perbuatan Allah ialah kamu tidak lagi melayan apa-apa hajat dan kamu tidak ada apa-apa matlamat atau tujuan, kamu tidak lagi ada keperluan atau maksud kerana kamu tidak ada tujuan atau keperluan lain selain Allah semata-mata. Lakuan Allah pun terzahir pada kamu dan pada masa pergerakan kehendak dan lakuan Allah itu, kamu hanya persiap pada badan, tenang dalam hati, luas fikiran, mukamu berseri-seri, dan jiwa kamu bertambah subur. Maka kamu akan terlepas dari keperluan kebendaan kerana kamu telah berhubung dengan Al Khaliq(Pencipta). Tangan Kuasa akan menggerakkan kamu. Lidah Abadi akan memanggil kamu. Tuhan sekalian alam kan mengajar kamu dan akan memberi pakaian dengan cahaya dari dirinya dan dengan pakaian kerohanian dan akan meletakkan kamu dalam peringkat orang-orang alim yang dahulu-dahulu.

Selepas pengalaman ini akan bertambah hancurlah hati kamu sehingga hapuslah hawa nafsu dan kehendak kamu umpama tempayan yang pecah yang tidak mengandungi air setitik pun. Kosonglah kamu dari semua lakuan-lakuan kemanusiaan dan diri kamu tidak menerima yang lain kecuali kehendak Allah. Pada peringkat ini kamu akan dikurniakan keramat-keramat dan perkara-perkara yang luar biasa.Perkara-perkara itu pada zahirnya datang dari kamu tetapi sebenarnya adalah kehendak dan lakuan Allah jua.

Maka masuklah kamu dalam golongan orang-orang yang telah pecah hatinya dan telah hilang nafsu-nafsu kebinatangannya. Selepas itu akan diberi sifat-sifat keTuhanan yang Maha Tinggi. Berkenaan hal inilah Nabi Muhammad S.A.W telah bersabda:

"Aku gemar tiga perkara dari dunia ini, bau-bauan harum, perempuan dan solat yang mataku sejuk di dalamnya."

Semua ini diberi kepadanya setelah kehendak-kehendak dan nafsu-nafsu yang tersebut dahulu itu lepas dari dirinya. Allah berfirman:

"Aku bersama mereka yang pecah hatinya kerana Aku."

Allah S.W.T tidak bersama kamu sekiranyasemua nafsu dan kehendak kamu itu tidak dihancurkan. Apabila semua hancur dan tidak ada lagi yang tinggal pada kamu, maka kamu pun sesuailah untuk diisi dengan Allah dan Allah akan menjadikan kamu orang baru yang dilengkapi dengan tenaga dan kehendak yang baru pula. Jika ada lagi diri kamu walau sedikitpun, maka Allah akan menghancurkan itu pula sehingga kamu kosong semula dan selama-lamanya kamu tetap hancur hati. Allah akan menjadikan kehendak-kehendak baru dalam diri kamu dan jika pada dalam itu masih juga ada ego(diri) kamu, maka Allah akan menghancurkan terus. Demikianlah terjadi sehingga kamu menemui Tuhanmu di akhir hayat nanti. Inilah maksud firman Tuhan,"Aku bersama mereka yang pecah hatinya kerana Aku." Kamu akan dapati diri kamu kosong dan sebenarnya ada ialah Allah.

Allah berfirman dalam hadith qudsi,
"Hambaku yang taat sentiasa meminta kehampiran dengan Aku melalui solat-solat sunat sehingga Aku jadikan dia rakanKu dan apabila Aku jadikan dia rakanKu, Aku jadikan telinganya yang dengannya dia mendengar, matanya yang dengannya dia melihat, tangannya yang dengannya dia memegang, dan kakinya yang dengannya dia berjalan, iaitu dia mendengar melalui Aku, memegang melalui Aku dan mengetahui melalui Aku."

Sebenarnya ini adalah keadaan fana. Apabila kamu telah fana terhadap diri dan makhluk dan oleh kerana makhluk itu baik atau jahat, dan oleh kerana diri kamu itu baik atau jahat, maka tidaklah ada dalam pandangan sebarang kebaikan yang datang dari diri kamu atau makhluk itu dan tidaklah kamu takut kedatangan kejahatan dari makhluk. Semua itu terletak pada tangan Allah semata-mata. Daripada itu datangnya buruk dan baik. Dia yang menentukan segala-galanya semenjak dari awal-awal lagi.

Oleh yang demikian, Dia akan memberi kamu keselamatan dari segala kejahatan makhluk-makhlukNya dan akan membenamkan kamu di dalam lautan kebaikanNya. Maka jadilah kamu titik tumpuan segala yang baik dan sumber keberkatan, kebahagiaan, kesentosaan, nur, keselamatan dan keamanan. Oleh itu fana adalah tujuan dan matlamat dan hujung dan dasar perjalanan wali Allah. Semua wali-wali Allah yang terdahulu dalam peringkat kemajuan mereka telah memohon dengan sungguh-sungguh untuk menukar kehendak atau kemahuan mereka kepada kehendak atau kemahuan Allah. Mereka semua menukar kemahuan atau kehendak mereka kepada kehendak atau kemahuan Allah. Pendek kata, mereka memfanakan diri mereka dan mewujudkan Allah. Sebab itulah mereka digelar 'Abdal' (diambil dari perkataan 'badal' yang bermakna 'pertukaran'). Pada pendapat mereka adalah satu dosa menyekutukan kehendak mereka dengan kehendak Allah.

Sekiranya mereka lupa, dikuasai emosi dan ketakutan, maka Allah yang Maha Kuasa akan menolong mereka dan menyedarkan mereka, dan dengan itu mereka kembali sedar dari lupa dan memohon perlindungan Allah. Tiada manusia yang benar-benar bebas dari pengaruh kehendak ego(diri) sendiri kecuali malaikat. Malaikat itu dipelihara Allah dalam kesucian. Kehendak mereka dan nabi-nabi dipelihara dari nafsu badaniah. Jin dan manusia telah diberi tanggungjawab supaya berakhlak baik tetapi tidak terpelihara dari dipengaruhi oleh dosa dan maksiat. Wali-wali dipelihara dari nafsu-nafsu badaniah dan abdal dari kekotoran kehendak atau niat. Meskipun begitu, mereka tidaklah bebas mutlak kerana mungkin mereka pun ada kelemahan untuk melakukan dosa tetapi Allah dengan kasih sayangNya  akan menolong dan menyedarkan mereka.